KALAM MUDIR
Bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya, kita masih diberi kekuatan dan semangat yang tinggi dalam menghadapi cabaran globalisasi bagi melahirkan pelajar yang berketrampilan dari segi akademik, sahsiah dan kokurikulum. Saya juga mengucapkan tahniah kepada jawatankuasa yang telah menghasilkan laman blog ini. Harapan saya pada tahun ini agar semua warga sekolah dapat meningkatkan budaya kerja cemerlang terutama dalam pengurusan masa, kesegeraan bertindak, cekap dan berfikiran positif. Hal ini selaras pelbagai program pembaharuan seperti KBAT, iThink, Frog VLE, Pembelajaran abad 21, TIMSS dan PISA yang sangat menuntut kecemerlangan budaya kerja.
Semua warga sekolah juga diharapkan dapat menghasilkan inovasi dan amalan-amalan terbaik dalam tugas masingmasing sama ada secara individu mahu pun berpasukan. Dengan adanya inovasi baru, kita akan dapat membuat lebih banyak perubahan dan penambahbaikan yang berterusan dari semasa ke semasa. Maka, bagi merealisasikan impian yang ingin digapai, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) perlu dihayati dan dilaksanakan dengan jayanya. Pelan ini melakar visi sistem pendidikan dan murid yang memenuhi keperluan negara pada masa hadapan. Pelan ini berhasrat mencapai 5 keberhasilan teras pendidikan bagi menentukan kejayaan sistem pendidikan. Justeru, PPPM juga telah menyusun transformasi yang dilaksanakan dalam tiga gelombang. Gelombang pertama memberi sokongan kepada para pendidik, gelombang kedua mempercepat peningkatan kemajuan sistem dan gelombang ketiga ialah beranjak ke arah kecemerlangan dan peningkatan keluwesan operasi. Oleh itu, sebagai pendidik, kita hendaklah menerima perubahan ini dengan minda yang terbuka dan melaksanakannya bagi mencapai visi yang dihasratkan.
Saya juga berharap supaya kita dapat merealisasikan kepimpinan instructional yang berkesan di sekolah ini dengan melaksanakan perancangan strategik secara menyeluruh, pengurusan kurikulum yang sempurna, menjalankan sistem penilaian dan pentaksiran yang konstruktif sertamembudayakan perkembangan profesionalisme secara berterusan. Melalui program dan aktiviti yang dilaksanakan sepanjang tahun, diharapkan gelaran “Sekolah Berprestasi Tinggi” pada masa akan datang menjadi kenyataan. Kepada guruguru yang baharu di SMK Agama Bandar Penawar, selamat bertugas dan jadilah warga sekolah beridentiti dan mempunyai jati diri yang tinggi. Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat hendaklah dijadikan amalan dalam merealisasikan budaya kerja cemerlang. Semoga segala tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan jayanya dan dirahmati Allah S.W.T.
Tuan Haji Nor Zaidi bin Ismail
Pengetua
SMK Agama Bandar Penawar
Kota Tinggi, Johor.
No comments:
Post a Comment